Oleh Azmi Hassan
MASYARAKAT dunia masih was-was sama ada program pembangunan nuklear Iran adalah untuk menjana kuasa elektrik atau senjata nuklear kerana Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya cuba menggambarkan persepsi wujudnya niat tidak baik Teheran.
Begitu berkesannya strategi yang diamalkan oleh negara yang memusuhi Iran, sekatan ekonomi dan ketenteraan telah dikenakan untuk melumpuhkan kerajaan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan seterusnya program pembangunan nuklear Iran.
Berbagai usaha digerakkan untuk memberi gambaran bahawa Iran adalah penyebab kemelut yang melanda Asia Barat. Hapuskan kepimpinan tertinggi Teheran maka semua masalah dapat diselesaikan. Itulah harapan yang diberikan kepada masyarakat antarabangsa.
Malah pemberontakan rakyat yang melanda Tunisia, Mesir, Algeria, Yemen dan Bahrain seboleh-bolehnya cuba digunakan untuk menggambarkan pertukaran kepimpinan negara tersebut sebenarnya menguntungkan Teheran.
Media barat terutama sekali cuba menggambarkan revolusi yang sedang berlaku adalah pertembungan di antara rakyat fahaman Syiah dan Sunnah walaupun sebab sebenar tiada kena mengena dengan perbezaan fahaman agama. Agendanya hanyalah satu, iaitu jika Syiah menang, maka Iran akan meraih habuannya.
Tetapi strategi untuk mengaitkan Iran dengan revolusi rakyat negara Arab menggunakan pertembungan Syiah-Sunnah tidak begitu berkesan kerana masyarakat antarabangsa begitu akur mengapa rakyat negara Arab bangun memberontak pemimpin diktator mereka. Bukan kerana perbezaan agama, fahaman atau politik tetapi kerana sudah bosan apabila sekian lama ditindas oleh pemimpin mereka.
Jika kaedah mengaitkan pemberontakan rakyat Arab dengan pertembungan Syiah-Sunnah gagal meraih perhatian masyarakat antarabangsa, maka sekutu terkuat AS iaitu Israel telah mempertaruhkan isu kapal perang Iran menyusuri Terusan Suez sebagai umpan terbaru.
Beberapa hari lepas, dua kapal perang tentera laut Iran iaitu Alvand dan Kharg telah menggunakan Terusan Suez sebagai jalan pintas ke Laut Mediterranean untuk menuju destinasi ke Syria. Alvand adalah kapal penangkis yang diperoleh dari Britain pada 1968 sementara Kharg pula adalah kapal logistik.
Tiada apa yang pelik mengenai perkara tersebut kecuali penggunaan terusan tersebut oleh kapal perang Iran adalah pertama kali sejak Revolusi Iran pada tahun 1979. Cuma yang menariknya ialah isu tersebut berlaku beberapa hari selepas Hosni Mubarak meletak jawatan presiden akibat desakan rakyat Mesir.
Malah Kaherah telahpun memberi kebenaran kedua-dua kapal tersebut menggunakan Terusan Suez dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir tidak mempunyai sebab untuk menolak permintaan tersebut mengikut Konvensyen Constantinople 1888 yang digunakan sebagai asas pentadbiran terusan tersebut.
Tetapi Israel telah memperbesarkan isu tersebut dengan menuduh Iran sengaja mengambil kesempatan daripada kemelut yang melanda Asia Barat dan penggunaan Terusan Suez oleh Alvand dan Kharg dianggap sebagai tindakan provokasi.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melahirkan kekecewaan beliau apabila pihak berkuasa Mesir membenarkan laluan kapal perang Iran dan Tel Aviv menilai keadaan semasa dengan penuh rasa cemas.
Menteri Luar Avigdor Lieberman pula meluahkan kekesalan Tel Aviv terhadap masyarakat antarabangsa yang memandang sepi terhadap provokasi Iran. “Masyarakat antarabangsa perlu memahami bahawa Israel tidak boleh berdiam diri apabila berhadapan dengan provokasi seperti ini,” ugut Lieberman.
Iran sebenarnya telah menyatakan hasrat untuk menggunakan Terusan Suez pada awal bulan Januari lagi, iaitu ketika bibit-bibit pemberontakan rakyat Mesir masih belum nyata. Malah pemberontakan rakyat Tunisia juga belum lagi tercetus ketika itu. Sebab itu tuduhan Tel Aviv bahawa Teheran mengambil kesempatan dari kemelut Asia Barat itu sengaja diperbesarkan.
Israel tidak perlu gentar terhadap kapal perang Alvand milik Iran kerana teknologi dan kelengkapan kapal tersebut sudah jauh ketinggalan mengikut kehendak semasa. Jika hendak dibandingkan kapal perang milik Israel yang sama kelas iaitu Sa’ar 4.5, kehebatan Sa’ar adalah tiada bandingan dengan Alvand.
Tuduhan yang menyatakan Iran cuba memperluaskan pengaruh di Laut Mediterranean menggunakan tentera laut juga tidak masuk akal kerana di antara ketiga-tiga cabang tentera Iran, peruntukan kepada tentera laut adalah paling kecil. Kehadiran tentera laut AS terutama sekali di negara Teluk sudah lebih daripada mencukupi untuk mengawal tindak tanduk tentera laut Iran.
Tidak cukup dengan gambaran ancaman yang dibawa oleh Alvand, Israel juga menggunakan kehadiran kapal logistik Kharg di Syria sebagai andaian ia mungkin digunakan untuk membawa bekalan senjata kumpulan Hizbullah di Lebanon. Ini adalah kerana terdapat kepercayaan bahawa Iran adalah pembekal senjata Hizbullah melalui saluran Syria.
Tetapi andaian Israel tersebut agak sukar diterima kerana hasrat kapal perang Iran ke Syria telah lama diketahui umum. Dengan keupayaan satelit pengintip milik AS dan Israel yang begitu canggih adalah mustahil tidak diketahui apakah bentuk bekalan yang diangkut oleh Kharg.
Tetapi satu perkara yang menarik dengan kehadiran dua kapal perang Iran walaupun dianggap usang di Laut Mediterranean adalah kesan terhadap sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Pada ketika ini, masyarakat antarabangsa sedang berusaha keras untuk memecahkan sekatan jalan laut dan kemuncaknya adalah peristiwa pembunuhan komando rejim Zionis terhadap aktivis dalam kapal Mavi Marmara yang menyertai flotila bantuan kemanusiaan pada Mei tahun lalu.
Pada ketika itu, Iran menyatakan kesanggupan untuk menggunakan aset tentera laut mereka membantu aktivis antarabangsa memecah kebuntuan sekatan Gaza. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika Iran tidak mempunyai kapal perang di Laut Mediterranean.
Tetapi pada hari ini dengan kehadiran kedua-dua kapal Alvand dan Kharg yang dijangka akan berada di perairan tersebut selama satu tahun, mungkinkah Iran akan mengotakan janji mereka?
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi
dan Sains GeoSpatial (INSTEG),
Universiti Teknologi Malaysia.
saya da tukar link blog
ReplyDeletehttp://halimatonmohamad.wordpress.com
ok ;)
ReplyDelete